Sunday, November 7, 2010

Cara Gaya Keibubapaan ( Part 1 )


Psikologi Remaja ( Oleh : PROF MADYA DR.KHAIDZIR ISMAIL - Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi & Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia )


Cara gaya keibubapaan adalah merupakan satu peranan yang diamalkan oleh ibu bapa untuk mendidik, memupuk, melindungi dan juga memberi arah panduan kepada anak-anak dengan cara atau acuan sendiri yang mungkin dipelajari daripada ibu bapa mereka atau melalui pengalaman persekitaran.

Banyak telah diperkatakan dan juga melalui dapatan hasil kajian akademik, cara gaya keibubapaan banyak menyumbang kepada tingkah laku anak.

Ada setengahnya mendapati cara gaya keibubapaan yang berbeza amalannya menyumbang kepada kejayaan anak dalam aspek akademik, kerjaya dan juga akhlak yang mulia.

Tidak kurang dapatan juga mendapati bahawa cara gaya keibubapaan juga menyumbang kepada masalah tingkah laku anak sehingga terjebak dalam jenayah dan ketidakstabilan perkembangan psikologi. Semua ibu bapa inginkan anak-anak mereka berjaya dunia dan akhirat tetapi cabarannya adalah gaya cara keibubapaan yang manasatu yang berkesan.

Ibu bapa perlu mempelajari ilmu kemahiran keibubapaan memandangkan tuntutan dan cabaran perubahan yang pesat dalam kesibukan bekerja. Terdapat ibu bapa yang tidak mempedulikan perkembangan dan kebajikan anak.

Jika ada di antara mereka yang mengambil tahu tentang perkembangan anak, ada setengahnya tidak mempunyai masa atau tenaga untuk memantau tingkah laku dan perkembangan anak. Ibu bapa yang kisah dan memantau perkembangan anak, mungkin ada yang tidak nampak apa-apa kesalahan tingkah laku anak. Sekiranya semua tersusun atur, masih ada ibu bapa yang tidak mempunyai kekuatan atau keupayaan menghukum atau menegur kesalahan tingkah laku anak.

No comments:

Post a Comment