Tuesday, August 10, 2010

Pentingnya ICT dalam SAINS

Di sekolah pelajaran ICT telah mula diajar dan para pelajar dapat mempelajari ilmu sains dengan lebih mendalam apabila boleh mengakses maklumat dengan pelbagai cara yang dibantu ICT seperti Internet.

Daripada maklumat yang dipeoleh dari Internet, para pelajar boleh mendapatkan penerangan lanjut daripada guru Sains mereka dan tidak hanya bergantung kepada buku teks atau ujikaji ringkas di bilik makmal.

Pelajar juga boleh membuat analisis atau melihat dengan lebih jelas perubahan atau tindakan-tindakan dalam dunia sains seperti perubahan jisim, molekul dan sebagainya yang boleh ditunjukkan dengan mudah melalui persembahan tiga dimensi (3D).

Tentu kita masih ingat bagaimana saintis telah berjaya merungkai mengenai rahsia kehidupan manusia purba beratus-ratus ribu tahun dahulu dengan hanya melakukan imbasan 3D terhadap mumia atau tulang-tulang manusia yang dijumpai.

Dengan menggunakan teknologi maklumat, saintis juga telah berjaya melakukan kajian DNA manusia di seluruh dunia dalam projek Genome Manusia yang menggunakan pelbagai sistem pangkalan data dan pengkomputeran terkini.
Di sekolah
Di peringkat sekolah pula, para pelajar boleh menggunakan Internet untuk mengakses pelbagai jurnal, majalah sains, portal sains dan sebagainya termasuk menggunakan perisian multimedia dalam pembelajaran mereka.

Penggunaan beberapa perisian khas untuk pembelajaran sains membolehkan pelajar untuk melakukan uji kaji dan penyiasatan tersendiri mengenai rahsia alam dengan lebih mudah.

Komputer juga boleh digunakan untuk mengumpul data dan kemudiannya hasilnya dipersembahkan dalam bentuk graf atau sebagainya.

ICT juga akan membolehkan para pelajar menyiasat dengan lebih terus, selamat dan mendalam terhadap mana-mana projek. Daripada situ juga mereka boleh mencipta, menganalisis, menilai dan mengrafkan pelbagai data yang dikumpul.

Kemahiran pengendalian data akan membolehkan pelajar untuk merancang, memilih, mempersembah dan menilai kerja-kerja mereka menggunakan teks, graf, imej, bunyi dan video yang seterusnya menjadikan hasil kerja mereka sangat hebat untuk dilihat.

Melalui ICT juga, para pelajar di pedalaman dapat menghubungi rakan mereka di bandar dan juga mendapat rakan baru dari luar negara untuk berkongsi-kongsi pendapat dan pengalaman mereka dalam mengendalikan projek-projek sains.

Dalam dunia tanpa sempadan pada masa ini, semua orang termasuk pelajar kini boleh mendapat manfaat dan peluang sama rata seperti mana para pelajar yang lain dalam mendapatkan ilmu dan sudah tentu MOSTI akan terus memartabatkan ICT dalam pembangunan sains di negara ini.

No comments:

Post a Comment